Sunday, October 14, 2012

mengait untuk hidup.

Pertemuan saya dengan Ibu Syamsinar ( atas usaha kak Rusnah, dari RnR fashion, yang juga  penulis  buku panduan menjahit pakaian  wanita) memberi satu perspektif baru pada seni kaitan untuk saya. Selama ini saya menganggap mengait merupakan satu cabang seni yang hanya dijadikan hobi dan sumber pendapatan sampingan ( seperti yang dilakukan oleh surirumah di Malaysia). Bercerita tentang jerih pedih penduduk di Bukit Tinggi Indonesia yang menjadikan kegiatan seni dan kraf termasuk mengait sebagai sumber utama pendapatan keluarga ( bak kata Ibu, untuk meneruskan kelangsungan hidup). Betapa bertuahnya kita di Bumi malaysia  yang hidup serba mencukupi, malah merungut bila sesekali kemewahan yang menjadi rutin kita seharian ditarik sedikit. Sedangkan mereka di sana terpaksa mengikat perut meneruskan hidup.
 
 
Ibu Syamsinar yang bertindak sebagai  pemborong barangan kraf ini memikul beban yang berat. Berapa ramai penduduk kampung yang bergantung harap kepadanya. Kerapkali pula barangan dagangan yang di berikan secara hutang kepada peruncit tidak dapat ditagih bayarannya walaupun barangnya terjual.Ibu banyak meletakkan hasil kraf ini  di Malaysia, antaranya di Pekan Rabu Alor Setar, namun seringkali kunjunganya untuk mengutip bayaran menjadi sukar kerana sekali datang untuk mengutip seratus ringgit  pun amat sukar katanya. Umpama pengemis yang meminta walaupun barang dagangan yang di jual secara hutang  habis diniagakan.
 
lewat pertemuan itu Ibu meninggalkan  sedikit barangan dagangannya di kedai saya. Saya berjanji akan cuba berusaha untuk mencari pembelinya sedaya yang boleh.Suatu hari nanti jika diizinNya , ingin saya ke Bukit tinggi untuk berjumpa sendiri dengan orang-orang kreatif dari sana yang untung nasibnya tidak sebertuah kita disini.
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails